Apprentice

"IRFAN KHAIRI – FAHAMI RAHSIA MENJADI JUTAWAN MELALUI INTERNET"

Kami tiba di perkarangan banglo mewah milik Noor Irfan Khairi bin Noor Azmi atau lebih dikenali sebagai Irfan Khairi kira-kira jam 2.30 petang pada tanggal 3 Julai 2007 sebagaimana yang dijanjikan. Secara peribadinya, saya sendiri amat ternanti-nanti akan pertemuan yang diatur oleh Apprentice kira-kira 2 bulan yang lalu melalui pembantunya. Sambutan mesra Irfan dan isterinya Shazrina Mohd Yusof meredakan debaran kami. Secara jujurnya, keramahan dan budi bahasa pasangan ini begitu menambat hati kami.

Sesungguhnya status beliau sebagai seorang jutawan tidak sekali-kali membuatkan beliau lupa diri seraya measih kuat berpegang kepada adapt dan budaya timur. Inilah yang membuatkan kami begitu teruja.

“Jauh berjalan luas pemandangan”. Inilah yang diterjemahkan oleh Irfan Khairi menjadi realiti dalam rentetan perjalanan hidupnya. Di usianya semuda 25 tahun, sedang anak muda lain masih lagi bergelut mencari hala tuju kehidupan, beliau telah berjaya menobatkan dirinya sebagai seorang jutawan. Bagi saya pastinya, beliau mempunyai kredibiliti yang tersendiri. Justeru pertemuan sebegini sudah tetntu amat bermakna malah perkongsian yang bakal kami paparkan wajar diteladani oleh segenap lapisan masyarakat, bak kata pepatah Melayu “Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk buatlah sempadan”.

Irfan Khairi merupakan anak kedua daripada 3 adik beradik. Bapanya seorang pesara kerajaan, manakala ibunya pula seorang suri rumah. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang penuh dengan keserderhanaan tetapi tidak pernah kekurangan buku dan bahan belajar. Beliau tidak menolak bahawa tabiat semulajadi bapanya yang kuat bekerja dan rajin membaca banyak mempengaruhi pembentukan peribadinya.

Irfan Khairi yang dilahirkan di Perak menerima pendidikan awal di Sekolah La Salle, Ipoh dari darjah 1 hingga darjah 3, kemudiannya bersekolah selama beberapa bulan di Subang Jaya sewaktu dalam darjah 4 sebelum keluarganya berhijrah ke United Kingdom dan menetap di sana selama 3 tahun kerana mengikuti bapanya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah kedoktoran.

Selepas tamat persekolahan, Irfan menyambung pelajarannya di Institut Teknologi Mara, kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan ekonomi. Kami tergamam ketika dimaklumkan bahawa beliau gagal menghabiskan pengajiannya dalam bidang tersebut. “Saya tak minat dalam bidang ekonomi lantas saya buat keputusan untuk memilih kursus yang selari dengan minat dan hobi saya sejak dari kecil lagi iaitu melukis dan mereka bentuk. Akhirnya saya memilih jurusan Reka Bentuk Multimedia dan Alhamdullillah saya berjaya menggenggam segulung ijazah sepertimana yang saya hajati. Oleh itu saya menyeru kepada semua pelajar-pelajar sebelum melanjutkan pelajaran, kenalpasti minat anda agar tidak kecundang di pertengahan jalan,” nasihat beliau kepada generasi muda.

Ketika Irfan menyambung bual bicara dengan kami, kami tergamam buat kali kedua kerana ironisnya jutawan muda ini sebenarnya mempunyai kelemahan mudah lupa nombor.” Sewaktu bersekolah dahulu, saya tidak minat dengan subjek Matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan nombor. Saya selalu gagal dalam subjek matematik dan perakaunan. Justeru itulah saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan pengajian dalam jurusan ekonomi. Pun begitu kelemahan ini tidak pernah melumpuhkan semangat saya untuk merealisasikan impian menjadi jutawan yang telah saya pupuk sejak zaman persekolahan lagi,” tegas beliau sambil tersenyum mengingati zaman silamnya.

Menyelusuri sejarah penglibatannya dalam bidang perniagaan internet yang bermula pada tahun 1999, Irfan berkata, setelah menamatkan pengajian, saya terima tawaran pekerjaan di salah sebuah syarikat teknologi maklumat di United Kingdom. Tugas utama saya adalah untuk merekacipta sistem pembelajaran internet untuk sekolah-sekolah di United Kingdom atau lebih dikenali sebagai Learning Grid. Dari situlah tercetusnya inspirasi untuk saya menjalankan perniagaan sendiri dengan menawarkan perkhidmatan mereka bentuk laman web, brosur, kulit buku atau ringkasnya apa jua yang berkaitan dengan grafik. Selain itu saya ada juga menjual beberapa produk melalui perniagaan internet saya seperti peta Malaysia dan saya dapati pulangan daripada perniagaan ini berlipatkali ganda, lantas saya nekad untuk menjalankan perniagaan ini sepenuh masa.

“Bagi mereka yang berminat untuk membina perniagaan internet, terdapat 4 elemen utama yang perlu diberi perhatian iaitu pertama, mesti ada produk atau perkhidmatan yang ingin dijual. Kedua, mempunyai laman web sendiri. Ketiga, menyediakan kemudahan proses pembayaran (merchant account) kerana pelanggan biasanya akan membuat pembayaran menggunakan kad kredit dan keempat adalah mempromosikan laman web kita. Daripada 4 elemen yang saya sebutkan tadi, elemen yang paling penting adalah untuk menentukan perniagaan internet kita berjaya dipromosikan “dengan ikhlas Irfan menggariskan panduan untuk berjaya dalam menjalankan perniagaan internet.

Ketika kami ajukan persoalan mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang menajalankan perniagaan internet, Irfan berkata, saya pernah gagal sewaktu mula-mula menjalankan perniagaan ini. Tetapi selepas mengkaji punca-punca kegagalan melalui pembacaan dan mengikuti seminar-seminar yang berkaitan, saya dapati punca kegagalan datangnya dari pada strategi promosi yang lemah. Lantaran, saya mengkaji bagaimana pakar dalam bidang pemasaran internet menjalankan promosi mereka dan saya segera mengadaptasikannya.

“Saya percaya potensi perniagaan internet amat luas sekali. Tahun lepas saja 10 juta rakyat Malaysia adalah pengguna internet. Kadar ini meningkat kepada 11 juta pada tahun ini. Saya yakin dan percaya bahawa angka pengguna internet akan meningkat dan terus meningkat dari tahun ke tahun memandangkan masyarakat kita pada masa sekarang lebih celik IT. Tambahan pula jumlah pengguna internet di seluruh dunia melebihi dari 1 billion. Pun begitu, saya tidak menafikan bahawa permintaan daripada pengguna tempatan masih terlalu rendah, ekoran kurangnya keyakinan masyarakat tempatan terhadap pembelian menerusi internet. Ketika ini 90% daripada pelanggan saya terdiri daripada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, sementara lebih kurang 10% lagi datang dari Negara-negara lain termasuk Malaysia. Ini bermakna peluang untuk menerokai pasaran tempatan masih luas,” Irfan mengupas mengenai peluang menjalankan perniagaan melalui internet.

“Pada hemat saya, rakyat Malaysia memerlukan satu anjakan paradigma kerana masih ramai yang belum terdedah dengan perniagaan melalui internet dan malah masih ramai yang meragui proses pembelian melalui internet. Tapi saya percaya dalam tempoh 3 tahun dari sekarang hampir semua traksaksi akan berlaku dengan menggunakan internet. Ketika ini kita lihat sistem perbankan di Negara kita telah mula mengorak langkah kearah tersebut dan ternyata ianya mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat,” ulas Irfan.

Ketika ditanya apakah kelebihan perniagaan internet, Irfan berkata, perniagaan internet mempunyai kelebihannya tersendiri. Ia hanya memerlukan 2 kriteria iaitu pertama modal untuk memulakan perniagaan yang amat rendah sekitar RM200 – RM300. kedua, untuk memulakan perniagaan internet, seseorang itu tidak perlu menjadi pakar dalam bidang IT. Cukup sekadar mempunyai kefahaman mengenai ‘How Internet works’… sebagai contoh tahu menggunakan e-mel dan chatting.

Kami sempat juga bertanyakan apakah rahsia kejayaan Irfan. Katanya “Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia dalam mencipta kejayaan. Saya cuma berusaha dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa menambahkan ilmu. Saya percaya kita mesti mempunyai ilmu untuk berjaya. Pun begitu, beliau secara terbuka mengakui bahawa kejayaan yang beliau cipta hari ini memakan masa selama 7 tahun dan bukannya berlaku dalam sekelip mata.”

Tanpa segan silu Irfan mengakui bahawa beliau berkorban untuk bekerja sebagai tukang cuci ketika belajar di United Kingdom semata-mata untuk mendapatkan duit bagi membeli buku-buku rujukan dan mengikuti seminar.

Beliau kemudiannya menggariskan 3 faktor untuk mencipta kejayaan dengan pantas iaitu “pertama kenal pasti halangan dalam menuju kejayaan, kedua cari resolusi dan yang ketiga selesaikan permasalahan yang timbul dengan kadar segera.” Beliau mengingatkan bahawa permasalahan yang tidak diselesaikan dengan segera umpama api dalam sekam yang membakar dalam diam dan akhirnya perniagaan yang kita bina akan ranap.

Ketika kami ajukan persoalan adakah Irfan berpuashati dengan tahap kejayaannya, Irfan berkata “saya bersyukur dengan anugerah Ilahi tapi saya sentiasa mencari peluang untk terus maju dan menambahkan perniagaan saya, terbaru saya telah membuka sebuah syarikat penerbitan yang dinamakan RealSuccess Book untuk menerbitkan buku-buku orang yang berjaya. Buku-buku yang kita terbitkan ini ditulis oleh orang-orang yang berjaya. Terdapat banyak buku-buku di pasaran yang menceritakan bagaimana ingin jadi jutawan, tetapi penulisnya sendiri tidak menjadi jutawan. Buku pertama yang kita terbitkan ialah ‘I Walk The Dollar’ yang ditulis oleh Dr Saiful. Selain daripada itu saya juga telah membukan syarikat produksi. Hasrat saya adalah untuk menerbitkan cerita-cerita yang berkisarkan tentang kejayaan. Sementara untuk aktiviti kemasyarakatan pula, saya menubuhkan Yayasan Ilham Budi bersama encik Nizal Mohammad. Objektif utama penubuhan yayasan ini adalah untuk membantu golongan belia kita untuk kenal dan mencontohi ikon masing-masing sebagaimana saya menjadikan Tan Sri Syed Bukhari sebagai Ikon saya” cerita Irfan.

Sebelum melabuhkan tirai wawancara, kami bertanyakan pandangannya adakah beliau bersetuju mengenai tanggapan segelintir masyarakat bahawa factor keturunan atau warisan adalah penentu kejayaan dalam perniagaan. Irfan berkata, mungkin ada kebenarannya tapi bagi saya di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tidak semestinya kita berasal dari keluarga yang telah mempunyai perniagaan kita akan berjaya mengharungi onak dan duri dalam dunia perniagaan. Begitu juga sebaliknya. Saya sendiri adalah orang pertama dalam keluarga saya yang menceburi dunia perniagaan dan Alhamdullillah setakat ini saya berada di landasan yang betul. Bagi Irfan, tiada kejayaan andainya tiada kegagalan.

“Kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”


HakCipta terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN INTERNET