Berita Harian

Hari Belia Negara 2007:
Jutawan Internet pernah kerja cuci lantai, tandas di UK

Irfan Khairi antara contoh belia yang berjaya mencapai status jutawan internet pada usia 25 tahun. Biarpun begitu, Irfan pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci lantai dan tandas di pasar raya United Kingdom dengan kadar upah 3.50 pound sterling sejam untuk mencari wang sampingan menampung keperluan pelajarannya ketika itu, iaitu kira-kira RM14 mengikut tukaran wang sekitar 1997 hingga 1998.

Irfan sanggup menempuhi kepayahan itu semata-mata untuk memastikan dia mampu membeli buku motivasi oleh orang yang berjaya serta menghadiri seminar kejayaan.

Habis bekerja dia bergegas mengikuti kuliah dalam bidang multimedia di universiti Staffordshire. Begitulah rutin harian Irfan sepanjang dua tahun pengajiannya di rantau orang.

Selepas menerima ijazah, kali ini dia bukan mencari kerja tetapi kerja pula mencarinya. Dia ditawarkan bekerja sebagai perunding multimedia di Netmedia Education, di Birmingham, dengan gaji 1,400 paun.

Tawaran itu diterimanya selepas mereka tertarik dengan projek universiti yang diusahakannya pada hari terbuka universiti yang memberi peluang syarikat mencari pekerja di kalangan bakal graduan.

“Saya mula menjalankan perniagaan melalui internet sejak tahun pertama menjadi penuntut dan tukang cuci sambilan. Bagaimanapaun, pada waktu itu belum cukup ilmu, jadi selama setahun tiada keuntungan yang saya peroleh.”

“Saya teruskan belajar melalui pembacaan dan kursus bagi memahirkan diri dalam internet. Masuk tahun kedua, baru perniagaan saya membawa pulangan,” katanya yang menawarkan khidmat grafik seperti mereka bentuk kulit buku, poster dan kain rentang.

Pada tahun keempat dia menjalankan perniagaan melalui internet, Irfan tidak menyedari dia bergelar jutawan apabila berjaya mengumpul lebih RM 1 juta.

“Kalau orang fikir dalam masa empat tahun saya mendapat RM 1 juta itu senang, sebenarnya sangkaan itu salah. Dari jam 9 pagi hingga 5 petang saya bekerja makan gaji. Selepas pulang pada kerja , saya menguruskan perniagaan internet hingga jam 2 atau 3 pagi.

“Saya sentiasa membawa Komputer riba ke mana-mana dan cari hotel yang ada akses internet kalau pergi melancong. Perniagaan ini boleh dijalankan di mana- mana, sekalipun ketika melancong,” katanya.

Menyedari hasil perniagaan internetnya mencecah jutaan ringgit, dia melangsaikan hutang computer riba yang dibelinya secara ansuran selama tiga tahun, dalam masa setahun.

Hidupnya tidak berubah selepas bergelar jutawan. Tidak beli barang mewah sebaliknya membeli kereta terpakai yang buruk dan berkarat.

Sepanjang tinggal di Birmingham, Irfan menyewa pangsapuri yang tiada bilik. Banyak masa dan wang digunakan untuk pelaburan bagi meningkatkan kemajuan diri.

Irfan mendirikan rumah tangga dengan Shazrina Mohd Yusof. Kini Irfan menjalankan perniagaan internet dari rumahnya di Seremban dengan dibantu Shazrina yang menjalankan kerja pengurusan.

Dia berpegang kepada pesanan Rasullullah S.A.W iaitu “ Sebodoh-bodoh manusia ialah yang memasukkan tangan dalam lubang yang sama dan dipatuk oleh ular yang sama”.

“Jangan ambil jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebab tiada jalan pintas untuk berjaya. Disebabkan ingin cepat kaya ramai tertipu dengan skim cepat kaya,” katanya.

Inilah contoh kejayaan belia hari ini. Jika suatu ketika dahulu, sukar bagi belia menjadi usahawan dengan titik peluh dan kepintaran sendiri, kecuali mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Namun berbeza dengan hari ini, sesiapa juga mampu menjadi usahawan tanpa mengira usia asalkan ada kemahuan untuk meneroka potensi diri.


HakCipta terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN INTERNET