Sensasi

"Rahsia Jutawan "

Kegagalan adalah guru paling bagus untuk mencipta kejayaan. Ramai yang kagum dengan kejayaan Irfan Khairi bergelar jutawan dalam usia semuda 25 tahun. Hari ini, ramai yang menganyam impian untuk menjadi seperti Irfan. Namun, tidak ramai yang mahu menyelongkar kisah kegagalan Irfan sebelum menjadi jutawan untuk dijadikan panduan.

Irfan memberitahu, permulaanya bukan mudah. Ketika mula menceburinya, hamper setahun dia menanggung kerugian lantaran tiada pengalaman bidang berkenaan.

"Saya tidak terus berjaya dan mencapai pendapatan lumayan. Ketika mula menceburinya saya hanya mampu mendapat tiga pelanggan dalam masa setahun. Ertinya saya telah menghabiskan masa begitu saja. Namun saya tidak pernah berputus asa. Saya terus berusaha dan sentiasa belajar dari kesilapan lalu,"ujar pemegang Sarjana Muda Reka Cipta Multimedia Universiti Staffordshire, United Kingdom.

Irfan turut mengakui dia tidak mencipta 'formula' atau strategi dalam perniagaan internetnya. Sebaliknya dia merujuk daripada kejayaan orang lain melalui pembacaan buku-buku motivasi, bahan dari internet dan lain-lain lagi.

"Ramai orang beranggapan kerja saya nampak mudah. Duduk kat rumah sambil tonton tv dan boleh buat duit. Tapi ramai yang tak tahu, saya terpaksa berkorban banyak masa untuk diri sendiri. Disiplin memang penting bagi mereka yang bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam perniagaan internet," jelas Irfan.

Menurut Irfan, sejak di bangku sekolah lagi dia sudah minat dalam dunia perniagaan. Ketika itu, dia memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan dengan menjual baju t, kad raya dan sebagainya.

Sungguhpun pendidikan Irfan berlatarbelakangkan Multimedia, namun sehingga kini dia masih mendalami ilmu berkaitan perniagaan internet. Dia turut mengkaji dan membaca buku-buku motivasi tentang kejayaan orang lain.
Bagi Irfan, sebelum serius mahu menceburi bidang perniagaan Internet, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan tentang perniagaan berkenaan dan perlu rajin serta tekun mendalami ilmunya.

Kejayaan atau kegagalan seseorang itu bukan terletak kepada kecanggihan komputer riba atau produk yang ditawarkan. Sebaliknya, ia lebih bergantung kepada usaha gigih dan tidak mudah cepat mengalah.

"Setiap kita mesti ada matlamat bagi merealisasikan cita-cita. Macam saya, saya telah sasarkan akan menjadi menjadi jutawan sebelum mencapai usia 30 tahun. Ketika saya menetapkan matlamat itu, saya baru berusia 18 tahun. Alhamdullilah, matlamat saya menjadi kenyataan ketika usia 25 tahun," ungkapnya kini aktif mengadakan pelbagai seminar berkaitan perniagaan internet dan motivasi.

Irfan mengatakan banyak kelebihan yang ada dalam perniagaan internet. Di antaranya, murah, modal yang rendah, pelanggan seluruh dunia, boleh dimulakan bila-bila masa, tidak perlu premis atau pekerja, kurang risiko dan boleh dijalankan di mana sahaja. Dengan kos serendah RM500 ke bawah, dia sudah memulakan pernaigaan tanpa perlu takut gagal.

"Cabaran dan dugaan memang ada. Tapi saya sentiasa berfikiran posited dan sentiasa yakin diri. Saya pernah gagal tetapi saya teruskan juga sambil mengkaji kesilapan diri,"kata Irfan yang menawarkan perkhidmatan mereka bentuk buku elektronik (e-book), laman web, grafik, SEO, menjual peta Malaysia, penempahan hotel, perundingan multimedia, e-niaga dan pembelajaran.


HakCipta terpelihara © 2010 RahsiaInternet. com & Irfan Khairi Sdn Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN INTERNET