Tunas Cipta

"Irfan Khairi menjual karya dalam Internet"

Selama berbulan-bulan, bukunya berada dalam senarai buku terlaris di rangkaian kedai buku MPH bagi kategori buku kewangan. Dalam tempoh kurang setahun, jualannya melebihi 10 ribu unit dan angka ini memang besar bagi buku ilmiah. Malah buku itu juga diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Secrets of Internet Millionaires Revealed oleh isterinya, Shazrina Mohd Yusuf.

Penulis buku tersebut ialah anak muda yang berusia 29 tahun, Noor Irfan Khairi Noor Azmi yang suka menulis sejak di bangku sekolah. Katanya, walaupun pencapaiannya sekadar tempat ketiga dan sagu hati dalam pertandingan penulisan peringkat sekolah, minat menulisnya tetap subur. Disebabkan itu, beliau mengambil keputusan menulis buku sulung itu dengan memfokuskan pada pencapaian sebagai usahawan internet yang berjaya, bidang yang menjadi kekuatan utamanya.

“Mungkin hasil penulisan saya tidak sehebat karyawan lain. Tetapi isi kandungan penulisan saya boleh membantu orang ramai dalam bidang internet. Dari situlah tercetus idea saya untuk menulis,” katanya.

Seawal usia 18 tahun, Irfan Khairi sudah menanam cita-cita untuk bergelar jutawan sebelum berumur 30 tahun. Beliau menulis cita-cita itu di atas kertas, menyimpan di dalam dompet dan membacanya setiap hari. Tidak cukup dengan azam di hati, beliau turut membaca buku mengenai kewangan, perniagaan dan kisah jutawan.

Selepas mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bekas pelajar aliran perdagangan ini, melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Namun, hati dan minatnya tidak menjurus dalam bidang itu. Beliau lebih cenderung melukis dan mereka bentuk, lantas mengambil keputusan untuk beralih bidang reka bentuk multimedia ketika memohon ke Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK).

Inilah titik mula yang membawa Irfan Khairi menceburi perniagaan secara dalam talian. Ketika masih bergelar penuntut, beliau sudah cuba berniaga secara dalam talian. Walaupun bersifat percubaan, beliau melakukannya dengan serius. Percubaan kali pertama itu tidak berhasil, namun beliau enggan mengalah sebaliknya mengkaji semula punca kegagalan dan memperbaiki kelemahan yang dilakukannya.

Selepas tamat pengajian, beliau memulakan kerjaya sebagai pereka system multimedia dan perunding internet di syarikat teknologi maklumat terbesar di Birmingham , iaitu Netmedia (UK) Ltd. Beliau diberi tanggungjawab untuk mencipta Learning Grid yang merupakan system pembelajaran internet yang digunakan oleh lebih 5000 sekolah di UK.

Pada masa yang sama, Irfan Khairi juga membangunkan perniagaan dalam talian dengan menawarkan perkhidmatan seperti mereka bentuk laman sesawang, grafik, buku elektronik, mengambil tempahan hotel dan menjual peta Malaysia. Pelanggannya dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah sehinga Timur Tengah.

Dalam tempoh setahun, selepas yakin dengan usahanya, Irfan Khairi berhenti kerja untuk memberikan penuh pada perniagaannya. Tiga tahun kemudian, dalam usia 25 tahun, anak muda kelahiran Perak dan dibesarkan di Selangor ini berjaya mencapai cita-cita apabila beroleh pendapatan bersih RM 1 juta – pendapatan yang melayakkan nya bergelar jutawan.

Pada hari ini, jutawan muda, Irfan Khairi antara nama yang dikagumi ramai. Beliau yang kembali menetap di tanah air sejak tahun 2004 masih meneruskan perniagaan internetnya. Di samping itu, beliau mengendalikan siri bengkel yang mengajarkan cara-cara membuka perniagaan internet dari rumah dan mengendalikan sekitar 20 sehingga 30 peserta setiap minggu.

Selain itu, rahsia kejayaan Irfan Khairi juga dikongsi dengan pembaca melalui buku sulungnya, RahsiaInternet.com : Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar yang diterbitkan pada Jun 2005. buku tersebut menjelaskan hasil kajian yang disampaikan melalui tips ringkas tetapi padat mengenai cara memulakan perniagaan internet secara talian.

“Saya sengaja menggunakan judul tersebut untuk menggambarkan isi kandungan buku. Ia boleh juga dikatakan gimik untuk menarik pembeli. Walau bagaimanapun, saya memang mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan tip dan idea itu berdasarkan pengalaman saya dalam industri internet. Saya bukan sekadar menyampaikan teori tetapi juga mempraktikkan apa yang saya tulis sehingga saya sendiri berjaya peroleh pendapatan RM1 juta melalui internet,”katanya.

Irfan Khairi belajar berniaga di internet dengan menyelidik cara yang digunakan oleh jutawan internet yang lain dan mengikuti pelbagai kursus yang dikendalikan oleh pakar internet dunia. Walaupun mempelajari bidang multimedia, skop pengajiannya dahulu lebih kearah suntingan video, suntingan suara, animasi dan reka bentuk grafik. Bidang pengajiannya itu juga sebenarnya tidak banyak membantu Irfan Khairi dari segi perniagaan di Internet.

Irfan Khairi bersetuju bahawa hari ini, buku pengurusan kewangan dan kaedah mencari kekayaan, memang mendapat sambutan ramai. Hal ini berlaku kerana masyarakat kebelakangan ini begitu peka dengan aspek kewangan. Walau bagaimanapun, menurut beliau, setiap genre ada pengikut tersendiri mengikut minat masing-masing seperti perniagaan, kesihatan dan novel cinta. Oleh itu, karyawan dan penulis bertanggungjawab untuk memenuhi setiap genre supaya tidak putus dengan bahan bacaan yang bermutu serta buku ilmiah yang boleh memberikan pendidikan.

Katanya lagi, jualan buku di Malaysia yang rendah sering dikaitkan dengan sikap masyarakat yang kurang membaca. Namun begitu, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana Malaysia merupakan antara Negara Asia Tenggara yang mempunyai jumlah pembaca paling banyak. Yang kurang, usaha untuk mempromosikan buku.

Beliau menambah bahawa yang sering berlaku, penulis tidak menjalankan promosi atau turut membantu menjual buku selepas buku diterbitkan. Malah ada yang hanya mengharapkan kedai buku membuat jualan. Oleh itu, pada pandangannya, untuk memaksimumkan jualan buku, penulis sendiri perlu turun padang seperti mengadakan jerayawara, sesi tandatangan dan sesi membaca seperti yang sering dilakukan di Barat.

“Cara promosi yang agresif diperlukan untuk meningkatkan jualan buku. Berdasarkan pengalaman, saya menggunakan kekuatan saya , iaitu internet untuk mempromosi dan menjual buku sendiri,” katanya.
Mempunyai kegemaran membaca, genre pilihan Irfan Khairi ialah buku bukan fiksyen seperti self help, motivasi, perniagaan, kewangan dan buku biografi orang yang berjaya dalam kalangan ahli perniagaan, atlet, penghibur, pelakon atau penyanyi. Bagi Irfan Khairi, dengan membaca mengenai kejayaan orang lain, secara tidak langsung dapat mengamalkan kejayaan itu pada diri sendiri.

Walaupun jarang-jarang membaca buku sastera, beliau masih terkesan dengan pengalaman membaca buku Debu Hiroshima karya Othman Puteh ketika zaman persekolahan. Beliau menyifatkan pengalaman itu begitu “ajaib” kerana karya itu kekal bersemadi dalam fikirannya. Ini kerana beberapa tahun dulu, beliau berpeluang melancong di Jepun dan beliau terkesan semula segala yang pernah dibaca dalam Debu Hiroshima ketika melawat tempat bersejarah di sana.


HakCipta terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN INTERNET