Berita Harian
Hari
Belia Negara 2007:
Jutawan Internet pernah kerja cuci lantai, tandas
di UK
Irfan Khairi
antara contoh belia yang berjaya mencapai status jutawan internet
pada usia 25 tahun. Biarpun begitu, Irfan pernah bekerja sambilan
sebagai tukang cuci lantai dan tandas di pasar raya United Kingdom
dengan kadar upah 3.50 pound sterling sejam untuk mencari wang sampingan
menampung keperluan pelajarannya ketika itu, iaitu kira-kira RM14
mengikut tukaran wang sekitar 1997 hingga 1998.
Irfan sanggup
menempuhi kepayahan itu semata-mata untuk memastikan dia mampu membeli
buku motivasi oleh orang yang berjaya serta menghadiri seminar kejayaan.
Habis bekerja
dia bergegas mengikuti kuliah dalam bidang multimedia di universiti
Staffordshire. Begitulah rutin harian Irfan sepanjang dua tahun
pengajiannya di rantau orang.
Selepas menerima
ijazah, kali ini dia bukan mencari kerja tetapi kerja pula mencarinya.
Dia ditawarkan bekerja sebagai perunding multimedia di Netmedia
Education, di Birmingham, dengan gaji 1,400 paun.
Tawaran itu
diterimanya selepas mereka tertarik dengan projek universiti yang
diusahakannya pada hari terbuka universiti yang memberi peluang
syarikat mencari pekerja di kalangan bakal graduan.
Saya mula
menjalankan perniagaan melalui internet sejak tahun pertama menjadi
penuntut dan tukang cuci sambilan. Bagaimanapaun, pada waktu itu
belum cukup ilmu, jadi selama setahun tiada keuntungan yang saya
peroleh.
Saya teruskan
belajar melalui pembacaan dan kursus bagi memahirkan diri dalam
internet. Masuk tahun kedua, baru perniagaan saya membawa pulangan,
katanya yang menawarkan khidmat grafik seperti mereka bentuk kulit
buku, poster dan kain rentang.
Pada tahun keempat
dia menjalankan perniagaan melalui internet, Irfan tidak menyedari
dia bergelar jutawan apabila berjaya mengumpul lebih RM 1 juta.
Kalau
orang fikir dalam masa empat tahun saya mendapat RM 1 juta itu senang,
sebenarnya sangkaan itu salah. Dari jam 9 pagi hingga 5 petang saya
bekerja makan gaji. Selepas pulang pada kerja , saya menguruskan
perniagaan internet hingga jam 2 atau 3 pagi.
Saya sentiasa
membawa Komputer riba ke mana-mana dan cari hotel yang ada akses
internet kalau pergi melancong. Perniagaan ini boleh dijalankan
di mana- mana, sekalipun ketika melancong, katanya.
Menyedari hasil
perniagaan internetnya mencecah jutaan ringgit, dia melangsaikan
hutang computer riba yang dibelinya secara ansuran selama tiga tahun,
dalam masa setahun.
Hidupnya tidak
berubah selepas bergelar jutawan. Tidak beli barang mewah sebaliknya
membeli kereta terpakai yang buruk dan berkarat.
Sepanjang tinggal
di Birmingham, Irfan menyewa pangsapuri yang tiada bilik. Banyak
masa dan wang digunakan untuk pelaburan bagi meningkatkan kemajuan
diri.
Irfan mendirikan
rumah tangga dengan Shazrina Mohd Yusof. Kini Irfan menjalankan
perniagaan internet dari rumahnya di Seremban dengan dibantu Shazrina
yang menjalankan kerja pengurusan.
Dia berpegang
kepada pesanan Rasullullah S.A.W iaitu Sebodoh-bodoh manusia
ialah yang memasukkan tangan dalam lubang yang sama dan dipatuk
oleh ular yang sama.
Jangan
ambil jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebab tiada jalan pintas
untuk berjaya. Disebabkan ingin cepat kaya ramai tertipu dengan
skim cepat kaya, katanya.
Inilah contoh
kejayaan belia hari ini. Jika suatu ketika dahulu, sukar bagi belia
menjadi usahawan dengan titik peluh dan kepintaran sendiri, kecuali
mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Namun berbeza dengan hari
ini, sesiapa juga mampu menjadi usahawan tanpa mengira usia asalkan
ada kemahuan untuk meneroka potensi diri.
HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|