Berita
Minggu: Sembang Sabtu
"Jutawan
Internet Lemah Angka"
Irfan cemerlang seni lukis ketika di sekolah
Siapa
sangka seorang tokoh jutawan internet, ahli perniagaan berjaya malah
turut dikenali sebagai pakar motivasi rupa-rupanya lemah dalam sebarang
kemahiran yang membabitkan penggunaan angka.
Noor Irfan Khairi Azmi,31, atau lebih dikenali dengan panggilan
Irfan Khairi tidak berselindung menceritakan kelemahannya yang amat
ketara iaitu tidak mampu mengingati dan menyelesaikan masalah berkaitan
angka sejak di bangku persekolahan lagi.
Malah ketika sesi temubual, beliau terpaksa membuka dompet mencari
kad perkahwinan untuk mengesahkan tarikh perkahwinan yang selalunya
menjadi tarikh penting setiap pasangan suami isteri.
Sering kali juga beliau termenung lama berfikir untuk memberikan
jawapan setiap kali soalan yang diajukan menjurus kepada tarikh
penting dalam hidup termasuk tempoh dan tahun beliau memasuki institusi
pengajian dan menceburi bidang perniagaan.
Namun, dengan nada berseloroh, beliau berkata, nasibnya agak baik
kerana masalah itu tidak berlaku ketika menyediakan cek untuk sebarang
pembayaran.Bagaimanapun, untuk mengelakkan masalah berlaku, beliau
terpaksa melantik pekerja khas yang berperanan menguruskan segala
hal berkaitan angka termasuk memeriksa cek yang dikeluarkan.
"Nasib baik saya tidak pernah pula terisi lebih kosong dalam
sebarang cek yang saya keluarkan untuk pembayaran.Tetapi isteri
saya dan pekerja memang sentiasa menyemak supaya tidak berlaku kesilapan,"
katanya sambil ketawa.
Menceritakan kelemahannya itu, Irfan Khairi berkata, beliau adalah
pelajar cemerlang dan cukup hebat dalam bidang seni lukis ketika
di bangku persekolahan.Malah sejak berusia 15 tahun lagi, beliau
diberi kepercayaan untuk memimpin Kelab Seni Lukis di sekolahnya.
Seorang pelajar yang sederhana dalam pencapaian akademiknya, malah
sering kali sekadar mendapat tempat ke20 daripada 40 pelajar dalam
kelas.Tumpuan dan kehebatannya hanya terserlah dalam bidang seni
lukis dan seperti yang dinyatakan, angka adalah kelemahan besarnya.Jadi,
tidak hairan apabila Irfan Khairi gagal dalam subjek Prinsip Akaun
ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pada 1993.
Pasti ramai yang ingin mengenali lebih dekat jutawan muda ini yang
berjaya memiliki simpanan sebanyak RM1 juta ketika seawal usia 25
tahun.Pasti ramai yang beranggapan Irfan Khairi seorang yang serius
dan tiada masa untuk berhibur.
Tanggapan itu silap kerana Irfan Khairi sebenarnya sangat suka berhibur,
malah sejak Tingkatan Tiga, beliau sudah mengunjungi pusat snuker
bersama beberapa kawan karibnya.
"Saya akan bermain snuker dua kali seminggu.Boleh dikatakn
aktiviti rutin jugalah kerana saya memang meminati snuker.Setiap
hari, saya akan bawa baju biasa dalam beg sekolah dan akan menukarnya
ketika balik sekolah.Maklumlah, nak masuk pusat snuker, tidak boleh
berpakaian sekolah.
"Selain itu, saya juga menonton wayang hampir setiap minggu
sejak zaman persekolahan.Saya memang meminati industri hiburan.Saya
pandai main gitar, malah pernah mengadakan persembahan di sekolah.Saya
main gitar dan pada ketika itu, kumpulan kami mendendangkan lagu
Belaian Jiwa.
"Ketika di Tingkatan Tiga, saya memang suka berhibur dan tidak
fokus pada pelajaran.Nasib baik ayah yang pada ketika itu seorang
pegawai di kementerian pendidikan bersikap terbuka dan tidak marah.Ibu
garanglah juga, tapi saya masih ada kebebasan untuk meneruskan cara
saya," katanya.
Beliau berkata, minatnya kepada industri hiburan terutama filem
mendorong dirinya menyediakan set panggung mini di rumahnya.Namun,
minat menonton wayang masih diteruskan hingga kini dan ia menjadi
rutin pada setiap hujung minggu tambahan jika ada filem aksi ditayangkan.Malah,
pertemuan dengan isterinya berlaku ketika menonton filem Toy Story
di United Kingdom(UK).
"Saya juga meminati Akademi Fantasia tetapi sejak episode ketiga
saya rasakan ia semakin membosankan kerana kualitinya tidak seperti
ketika episode pertama dan kedua,"katanya.
Anak kedua daripada tiga beradik ini adalah yang paling lemah dalam
akademik jika dibandingkan dengan semua saudara maranya.Namun, ketika
memasuki Tingkatan Empat, beliau sudah mula serius dengan pelajaran
dan sudah mempunyai keazaman yang kuat untuk menjadi seorang kartunis
yang berjaya berberkalkan kemahiran seni lukisnya.
Keazaman itu direalisasikan apabila beliau menerima tajaan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran di UK dalam
bidang pengiklanan dan multimedia walaupun pada peringkat awal hamper
gagal dalam pengajian di Institusi Teknologi Mara (kini UiTM) kerana
kesilapan menyertai bidang ekonomi.
"Sejak belajar di UK, saya sudah mula berjinak-jinak dengan
perniagaan internet, tetapi secara kecil-kecilan.Pada tahun 2001
iaitu selepas mendirikan rumahtangga barulah saya benar-benar serius
dan menumpukan sepenuh masa di depan komputer untuk merealisasikan
hasrat bergelar jutawan sebelum berusia 30 tahun.
"Kemahiran saya dalam bidang seni lukis digunakan sepenuhnya
mereka logo dan grafik muka depan buku, seterusnya dijual di internet.Saya
yakin dengan jalinan perniagaan menggunakan internet kerana semua
sedia maklum, internet menawarkan perhubungan tanpa had ke seluruh
dunia.
"Malah, ia disokong dengan kemahiran saya menggunakan internet
kerana memang sejak kecil saya sudah didedahkan dengan komputer,"
katanya.
Suatu yang sukar dipraktikkan semua orang apabila beliau memperuntukkan
hanya empat jam untuk tidur.Selain makan, mandi dan solat, berjam-jam
masa lagi diperuntukkan di depan komputer menjual rekaannya dengan
harga RM500 setiap satu.Pada peringkat awal pembabitannya, beliau
berjaya menjual enam rekaan sehari yang memberikannya pendapatan
hampir RM3,000 setiap hari.
Beliau menafikan dirinya digelar jutawan segera kerana kejayaannya
bukan diperoleh secara tiba-tiba.Beliau pernah bekerja sebagai tukang
cuci tandas di pasar raya ketika di UK selama dua tahun untuk mengumpulkan
kira-kira RM 21,000 bagi membolehkannya menyertai kelas tiga hari
strategi perniagaan melalui internet.
Ketika ditanya siapakah idola yang memberikannya semangat untuk
berjaya, beliau memberi beberapa nama personaliti terkenal seperti
Denzel Washington, Brad Pitt, Datuk Yusof Haslam dan Rosyam Noor.Katanya,
nama-nama besar ini dipilih kerana mereka berjaya dan menjadi kaya
bukan dengan tiba-tiba malah pernah melalui episod memeritkan sepanjang
kehidupan mereka
"Datuk Yusof Haslam antaranya, sebelum berlakon, beliau pernah
bekerja sebagai konduktor bas dan pekerja di kilang besi.Brad Pitt
pula pernah berkerja sebagai penghantar peti sejuk.Jadi, saya hormati
mereka kerana mereka kini sangat berjaya," katanya.
Irfan Khairi kini sudah mula menceburi bidang yang lain dengan menubuhkan
syarikat penerbitan buku dan produksi serta bercita-cita menerbitkan
film berasaskan kisah benar kehidupan tokoh yang berjaya dalam kehidupannya.Selain
itu, dijangka dalam tahun ini, beliau akan menubuhkan yayasan yang
berperanan memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan peluang
berjaya melalui internet.
"Satu prinsip yang saya pegang dan ingin dikongsi dengan
semua ialah sentiasa tidak dengan mudah putus asa. Pegangan hidup
saya mudah iaitu 'alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal
lengan," katanya.
HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|