Femini &
Famili
"Walaupun
Jutawan Irfan Hidup Sederhana"
Ramai yang cemburukannya,
apatah lagi bila melihat kehidupannya yang dilimpahi wang ringgit. Jika
ditanya, siapa akan menolak untuk menjadi Irfan Khairi, 32, jutawan
internet yang berjaya menggapai impiannya untuk bergelar jutawan
sewaktu berusia 25 tahun!
"Saya akui kini wang bukanlah sasaran utama dalam kehidupan
saya. Apa yang penting sekarang adalah mempertahankan apa yang sudah
saya miliki berkat usaha saya selama ini selain tumpuan untuk keluarga
dan memberi motivasi kepada masyarakat, " ujar Irfan.
Walaupun pendapatannya lima angka sebulan, namun bapa kepada tiga
orang anak ini tidak mengamalkan gaya hidup mewah.
Sekalipun tinggal di rumah yang bernilai jutaan ringgit, segala
urusan keluarga dilakukan sendiri oleh Irfan dan isterinya, Shazrina
Mohd Yusof, 32. Tiada istilah orang gaji dalam kehidupan mereka.
"Walaupun ada duit, kami tidak suka nak berhabis tak tentu
pasal. Segala perbelanjaan dirancang mengikut keperluan. Urusan anak-anak
semuanya dilakukan oleh isteri seperti menghantar atau mengambil
anak pulang sekolah. Begitu juga kerja-kerja rumahtangga. Kami lebi
h suka makan di rumah daripada makan di luar. Air tangan isteri lebih
bermakna daripada berhabis makan di tempat mahal.
"Begitu juga soal membeli belah. Kami amat jarang bershopping
kecuali bila perlu, contohnya tiba hari raya. Malah, saya lebih suka
amalkan membeli sesuatu barangan seperti pakaian yang boleh dibeli
dengan harga murah. Saya sendiri jika mahu membeli sehelai baju berharga
RM100 pun, saya akan fakir dua tiga kali.
"Anak-anak juga saya ajar untuk tidak dimanjakan dengan wang. Jika
mahu sesuatu permainan yang mereka sukai, mereka harus memberi nilai
positif dalam sesuatu yang mereka lakukan. Ataupun apabila mereka
mendapat wang contohnya duit raya, saya akan bawa mereka beli permainan
mengikut nilai wang yang mereka miliki supaya mereka belajar menghargainya, "
jelas Irfan yang kini mulai popular sebagai pakar motivasi dan sering
diundang menjayakan program ceramah di televisyen.
Sebagai isteri, Shazrina juga sependapat dengan suaminya. Apatah
lagi melihat kesungguhan si suami terbukti akhirnya membuahkan hasil.
Pasangan ini bertemu di United Kingdom sewaktu kedua-duanya menuntut
di sana. Cinta akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin. Walaupun
berpendidikan tinggi, namun Shazrina lebih suka menjadi suri rumahtangga
dan membantu suaminya menjalankan perniagaan internet di rumah.
Hasil perkongsian hidup pasangan ini diserikan dengan kehadiran
Ilham Abadi, 6, Kasih Kamilia Abadi, 4, dan Ikhlas Abadi, 2.
"Mula-mula kahwin dulu, saya membantunya menguruskan bisnes
internetnya seperti mengemaskini dan membungkus pesanan. Tapi sekarang
tumpuan saya lebih kepada anak-anak. Saya Bantu juga mana yang patut
tapi tidak seteruk dulu, tambahan pula suami sudah ada pekerja sendiri
untuk melakukannya, " ujar Shazrina yang kini sedang hamil lima
bulan.
Bercerita tentang suaminya yang kini semakin dikenali ramai. Shazrina
hanya tersenyum apabila ditanya apakah tidak risau dengan keadaan
itu. Maklumlah, seseorang lelaki yang bertaraf jutawan pula mempunyai
rupa, ia mudah terdedah kepada pelbagai keadaan yang sering dirisaukan
oleh seorang isteri. Contohnya risiko suami digoda atau tergoda pada
wanita lain.
"Bukan sesuatu yang salah apabila seseorang wanita berperasaan
begitu. Namun dalam kehidupan saya dengan Irfan, tidak pernah terlintas
sedikitpun rasa cemburu atau syak wasangka terhadapnya. Saya percayakan
suami saya.
"Irfan tidak pernah berubah sejak saya mula mengenalinya. Bagaimana
sikapnya sebelum jadi jutawan dulu, begitulah juga sekarang. Malah,
kasih sayangnya makin menebal dengan kehadiran anak-anak. Dia tidak
boleh berjauhan dengan isteri dan anak-anak.
"Walaupun bergelar jutawan, namun kebanyakan waktu Irfan adalah
bersama keluarga. Inilah kelebihan perniagaan internet. Ia boleh dilakukan
di rumah yang membuat masa suami lebih banyak di rumah sekaligus
sentiasa dekat dengan anak isteri.
"Jika dia terpaksa kerja luar, sama ada di dalam atau luar
negara, Irfan pasti akan membawa kami sekeluarga. Kira bekerja sambil
bercuti la, "cerita Shazrina tertawa.
Mengulas tentang sikap suaminya ini di rumah menurut Shazrina, Irfan
seorang yang lembut dan tidak pernah meninggikan suara.
"Dia sentiasa lembut bila bercakap dan sukar untuk melihatnya
bermasam muka. Dalam mendidik anak-anak pun begitu. Irfan tidak gunakan
kemarahan untuk mendidik namun pendekatan psikologi lebih membantu. Kerana
itu anak-anak mudah mendengar kata walaupun dia bukan jenis yang
garang.
"Saya sendiri sebagai isteri pun kadangkala sukar untuk meneka
perasaanya. Prinsip Irfan, apa pun yang berlaku dalam hidup kena
berfikiran positif. Sebab itu wajahnya sentiasa nampak ceria, "
jelas Shazrina.
Sedikit sebanyak tentang latar belakang Irfan, anak muda kelahiran
Ipoh, Perak ini mula belajar berniaga sewaktu sekolah menengah. Ketika
itu, dia membuat rekaan corak untuk T-shirt dan kad lalu dijual
kepada kawan-kawannya.
Seterusnya menamatkan pelajaran di ITM, Irfan meneruskan pengajiann
di sebuah universiti di United Kingdom dalam bidang multimedia pada
tahun 1999. Ketika inilah Irfan mula belajar selok belok perniagaan
Internet. Dia menjual pelbagai produk seperti peta Malaysia, buku
perlancongan dan agama, khidmat grafik dan mencipta logo dan sebagainya
hanya melalui internet.
Hasilnya, pada usia 25 tahun, impian Irfan bergelar jutawan menjadi
kenyataan apabila profit hasil perniagaannya mencecah RM1 juta tanpa
mempunyai pejabat atau pekerja sendiri. Semuanya dilakukan oleh Irfan
hanya menggunakan sebuah komputer riba
HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet. com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|