majalah
I
"Usahawan
Muslim perlu rebut peluang perniagaan Internet"
Sejak terdedahnya
kisah tokoh usahawan internet, Irfan Khairi yang berjaya memperoleh
pendapatan RM 1 juta hasil perniagaan internetnya, rakyat Malaysia
mula membuka mata. Terutamanya golongan muda yang bersemangat tinggi,
mereka tidak kisah mengeluarkan wang untuk membeli buku-buku panduan
dan cakera padat yang menjelaskan langkah-langkah untuk memulakan
perniagaan internet. Bagi yang lebih berkemampuan atau yang benar-benar
serius mahu membuka perniagaan internet sendiri, mereka mula menghadiri
kursus-kursus berkaitan yang yurannya hampir mencecah empat angka,
kerana yakin nilai pulangan yang jauh lebih tinggi daripada itu.
Perkara ini diakui sendiri oleh Irfan Khairi , penulis buku Rahsia
Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, buku bahasa Melayu yang pertama
yang menceritakan tentang potensi perniagaan internet, sekaligus
membongkar rahsia-rahsia perniagaan internet. Sejak munculnya buku
tersebut di pasaran pada tahun lepas, perniagaan internet di Negara
ini mula menampakkan perkembangan rancak, meskipun di Barat industri
ini sudah berkembang hebat sejak sepuluh tahun yang lalu.
"Industri ini masih baru di Negara ini. Cuma sejak kebelakangan
ini ia sudah mula mendapat sambutan dan kepercayaan orang ramai.
Saya harap dengan kehadiran saya dalam industri internet sejak tahun
lepas sedikit sebanyak membuka lebih banyak mata terutama di kalangan
masyarakat bumiputera tentang peluang perniagaan melalui internet
ini," ujar Irfan Khairi yang ditemu bual baru-baru ini.
FENOMENA
BARU
Fenomena ini
jelas dapat dilihat apabila buku tersebut menjadi Best-Seller di
kedai-kedai buku terkenal seperti di MPH dan Kinokuniya. Cakera
padat bertajuk Manual Langkah 1-2-3 Membina Laman Web Perniagaan
Internet turut mendapat sambutan di samping Workshop Jutawan Internet
yang dikendalikan sendiri oleh Irfan Khairi. Itu belum lagi diceritakan
tentang produk-produk seumpamanya yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan
internet lain.
Bumiputera yang memiliki tahap ekonomi yang masih rendah tidak harus
melepaskan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja. Peluang ini
harus direbut sebaik mungkin kerana ia sedang terbuka luas dan masih
banyak ruang yang belum diteroka, memandangkan Malaysia masih lagi
berada di tahap awal dalam penerimaan perniagaan melalui internet.
"Masih
terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dieksploitasi oleh kaum
bumiputera di arena internet. Sebagai contoh, ketika saya bersiar-siar
di kedai buku agama, terlalu banyak buku agama yang ada di pasaran
tetapi tidak ada dijual di pasaran internet. Di situ saja satu idea
memulakan perniagaan internet - menjualbuku-buku agama - boleh dilakukan,"
kata Irfan.
POTENSI MASA
DEPAN
Tambah Irfan,
potensi perniagaan internet pada masa hadapan akan menjadi semakin
luas. Seperti televisyen, radio, surat khabar, dan majalah yang
merupakan media yang tidak luntur dek masa, demikian juga dengan
internet.
"Pada masa
ini pengguna internet di Malaysia mencecah 10 juta orang. Pada tahun
lepas, jumlahnya adalah sembilan juta orang, bererti kenaikan sebanyak
1 juta pengguna setahun. Tetapi kita harus ingat, kenaikan itu tidak
berlaku secara linear.
Tahun hadapan
bukan bermakna lagi satu juta pengguna internet, tapi mungkin 1.5
juta atau 2 juta. Saya yakin, pengguna internet dan penerimaan internet
akan terus berkembang di Malaysia seiring dengan usaha kerajaan
yang turut menekankan kepentingan industri ICT di Negara ini."
Mungkin ramai
yang teruja membaca kisah Irfan Khairi, tetapi masih tidak tahu
untuk bertindak. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan
internet sekiranya ada minat untuk melakukannya. Ini kerana perniagaan
internet tidak memerlukan modal yang tinggi, kerana ia boleh dimulakan
dengan modal serendah RM500 sahaja. Ia juga tidak memerlukan pengetahuan
teknologi maklumat yang tinggi kerana hari ini terdapat banyak buku-buku
panduan mengenainya serta perisian-perisian yang membolehkan seseorang
itu membina laman web nya sendiri.
"Sebenarnya
untuk memulakan perniagaan internet, seseorang itu tidak perlu ilmu
yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat. Sudah memadai bagi
seseorang yang tahu menggunakan internet - samada untuk melayari
laman-laman web, menggunakan emel atau membuat penyelidikan.
Sekiranya tahu
menggunakan perisian mudah seperti Microsoft Word, maka, sudah cukup
untuk memulakan perniagaan internet. Asalkan mereka sanggup belajar
dan ambil langkah demi langkah," kata Irfan. Irfan menjelaskan
adalah amat rugi bagi seseorang usahawan yang sudah memiliki perniagaan
sendiri tidak mahu merebut peluang ini.
Ini kerana,
menjual produk di kedai konvensional hanya dapat menerima kunjungan
orang-orang yang berada di persekitaran kedai itu. Tetapi dengan
cara mengembangkan perniagaan itu di internet, usahawan tersebut
boleh mencapai pengguna internet satu Malaysia yang jumlahnya melebihi
10 juta orang.
Bahkan, mereka
boleh pergi lebih jauh dengan menjual produk mereka ke seluruh dunia
dengan jumlah pengguna internet kini melebihi 1 billion orang.
Internet memiliki
banyak kelebihan berbanding perniagaan konvensional kerana ia tidak
dibatasi oleh sempadan geografi, bangsa dan agama.
Kerana itu,
sesiapa sahaja boleh berjaya di internet jika rajin berusaha, pandai
membaca peluang dan yakin kepada diri sendiri.
PENYELESAI
MASALAH
Perniagaan internet
adalah penyelesai kepada banyak masalah. Ia boleh menyelesaikan
masalah mereka yang menghadapi kesesakan lalu lintas, kepada ibu-ibu
yang mahu menjaga sendiri anak-anak serta kepada mereka yang masih
menganggur.
"Hari ini
ramai orang yang menghadapi masalah dengan pekerjaan mereka, termasuk
juga mereka yang tidak ada kerja. Mereka ini harus memberi peluang
kepada diri sendiri untuk mencuba perniagaan melalui internet ini.
Ia boleh dijalankan di rumah dengan kos yang sungguh minimum.
"Bagi graduan
menganggur pula, mereka patut merebut peluang ini dan tidak menunggu
pekerjaan makan gaji. Bahkan saya sarankan bukan sahaja kepada graduan
menganggur, tetapi sesiapa juga sebagai satu cara mendapatkan pendapatan
sampingan dan memantapkan ekonomi" kata Irfan lagi.
KISAH KEJAYAAN
IRFAN KHAIRI
Saya mula berjinak-jinak
dengan perniagaan internet kira-kira 7 tahun yang lalu ketika berada
di United Kingdom. Pada mulanya, saya tidak berapa pandai berniaga
melalui internet. Minat berniaga sudah ada sejak di bangku sekolah,
tetapi, berniaga di internet adalah perkara baru.
Pada mulanya
saya hanya melakukan perniagaan internet secara sambilan. Pada mulanya
juga, amat sukar untuk saya mendapatkan pelanggan!boleh dikatakan
selama setahun saya gagal dalam perniagaan internet - malah mengalami
kerugian. Saya bertekad untuk terus berjaya.
Jadi saya berusaha
mengumpulkan wang untuk menghadiri kelas perniagaan internet dan
membeli bahan-bahan rujukan perniagaan internet.
Selama 2 tahun
saya bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya untuk menampung bahan-bahan
pembelajaran serta menghadiri seminar mengenai perniagaan internet.
Alhamdullillah, secara perlahan-perlahan saya dapat memperbaiki
perniagaan saya. Pengalaman juga turut membantu sehingga saya berumur
25 tahun (empat tahun lalu).
Allah Maha Pemurah
memberi rezeki kepada perniagaan internet saya untuk meraih lebih
dari RM1 juta keuntungan dalam masa 3 tahun. Dua tahun lepas saya
kembali ke Malaysia dan mendapati perniagaan internet di Malaysia
tidak mendapat sambutan.
Ketika itu,
saya bertekad untuk mendidik masyarakat Malaysia serta memberi kesedaran
tentang peluang yang terdapat melalui perniagaan internet melalui
buku serta bengkel yang saya anjurkan di RahsiaInternet.com.
Alhamdullillah, kini masyarakat lebih ramai dapat menerima perniagaan
internet dan saya juga akan terus dengan usaha saya selagi termampu,
Insya-Allah.
MELABUR PADA DIRI SENDIRI
Seringkali saya
di Tanya. "Irfan, saya ada wang simpanan RM 5,000 yang saya
boleh laburkan. Dimana boleh saya laburkannya untuk mendapat pulangan
tertinggi?"
Jawapan saya
adalah : Laburkan pada ilmu.
Kawan baik saya,
jutawan Azizi Ali sering memulakan ceramahnya dengan soalan "Berapa
banyakkah anda sanggup melabur untuk memperolehi pendapatan sebanyak
RM1 juta?". Pelbagai jawapan yang diterima. Ada yang menjawab
RM1,000.00. Ada yang menjawab RM10,000. Ada juga yang menjawab RM100,000!
Walaupun soalannya
berbunyi agak simple, namun, jawapan yang diberi menggambarkan sama
ada anda serius dalam mencari ilmu untuk menjana pendapatan yang
tinggi.
Melihat orang-orang
yang berjaya di seluruh dunia,mereka merupakan orang yang suka mencari
ilmu untuk memperbaiki diri sendiri. Orang yang berjaya adalah mereka
yang sering dahagakan ilmu dan sentiasa menuntut ilmu untuk mencari
idea-idea baru, teknik dan strategi yang mereka boleh gunakan dalam
memperbaiki diri sendiri dan menjana lebih banyak pendapatan.
Fikiran adalah
anugerah yang paling tinggi nilanya pada setiap manusia. Manusia
juga dikatakan tidak pernah menggunakan keseluruhan potensi kuasa
fikiran yang mereka ada.
Berapa banyak
anda patut melabur pada ilmu?
Di sini terdapat
satu formula mudah untuk melabur untuk ilmu. Formulanya berbunyi
laburkan 3% daripada pendapatan bulanan anda kepada ilmu yang dapat
memperbaiki nilai diri anda.
Ini bermakna
sekiranya pendapatan bulanan anda adalah RM2,000 sebulan, laburkan
RM60 setiap bulan untuk ilmu memperbaiki diri anda. Mungkin dengan
jumlah ini, anda akan dapat membeli 2 atau 3 buah buku yang berkaitan
dengan industri anda. Ataupun, simpan 3% selama 4 bulan untuk mengumpul
RM240 untuk anda menghadiri kursus yang boeh memperbaiki nilai diri
anda.
Sekiranya anda
melabur pada ilmu, sebanyak 3% daripada pendapatan anda setiap bulan,
ilmu tersebut akan menambahkan pengetahuan dan kepakaran anda dan
ia turut akan menambahkan pendapatan bulanan anda.
Sekiranya anda inginkan kemewahan dan kekayaan, anda perlu menjadi
lebih baik dari mereka di dalam bidang anda. Untuk menjadi lebih
baik - ilmu diperlukan!
Pasaran pendapatan
adalah adil. Pasaran akan memberi pulangan yang hebat kepada mereka
yang hebat di dalam industri masing-masing. Sekiranya anda menjalankan
tugas sederhana, pulangan anda juga turut sederhana. Sekiranya anda
mempunyai kepakaran yang tinggi atas hasil anda mendalami ilmu bidang
anda sendiri, anda juga akan mendapat pulangan yang tinggi dalam
bidang anda.
Katakan dengan
melaburkan wang anda dalam memperbaiki diri anda pada setiap bulan
sehingga anda menerima pendapatan RM4,000 sebulan. Dengan hanya
menyimpan 10% setiap bulan daripada pandapatan tersebut ke akaun
pelaburan yang memberi pulangan 10% setahun, akaun simpanan anda
akan mencecah RM1 juta dalam masa 31 tahun sahaja! Anda akan pencen
sebagai seorang jutawan!
Ramai yang akan
mengeluh. Menjadi jutawan dalam masa 30 tahun adalah waktu yang
lama! Bagaimana Irfan melakukan dalam masa 3 tahun?
Di sinilah pelaburan
pada ilmu pengetahuan menjadi lebih penting. Sering saya dengar
kisah kejayaan di mana seseorang itu mendapat satu idea atau mempelajari
satu teknik dari menuntut ilmu yang telah memberi mereka pulangan
sehingga RM5,000, RM10,000, RM20,000 atau lebih setiap bulan!
Secara peribadi,
diri saya sendiri juga turut menerima pendapatan yang berganda hasil
daripada mendapat idea dan teknik daripada sering mencari ilmu.
Dalam mencari ilmu, memang perlu kita melabur.
Cara-cara
mencari ilmu :
1. Melalui
buku-buku. Jangan lupa,tidak semestinya anda membeli buku. Perpustakaan
membolehkan anda membaca apa saja buku dari pelbagai bidang tanpa
anda perlu membeli buku-buku tersebut. Alasan tiada wang untuk membeli
buku tidak diterima di sini.
2. Salah
satu cara terpantas mencari ilmu adalah mempelajari daripada mereka
yang pakar. Dalam bidang apa sahaja pun, terdapat pakar yang telah
berjaya. Pelajari dari pakar industri anda dan ia merupakan short-cut
untuk anda berjaya. Ingat, anda tidak perlu mencipta kaedah baru-
ikuti kaedah dan strategi yang digunakan oleh orang yang berjaya,
dan anda juga akan turut berjaya!
3. Anda juga
boleh menyertai seminar dan kursus dalam memperbaiki nilai anda
sendiri. Walaupun anda perlu melabur sejumlah wang dan tenaga anda
untuk ke tempat kursus, sering kali saya mendengar kisah-kisah kejayaan
daripada pelaburan sebegini. Peserta-peserta kursus saya juga ramai
yang telah berjaya melalui kaedah ini!
Terdapat
banyak cara untuk menambahkan ilmu yang akan menambahkan isi dompet
anda! Apa yang menghalang anda hanyalah kemahuan anda dan kesungguhan
anda untuk mencari ilmu tersebut.
HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|