Harian Metro
"Irfan
Jutawan Muda Internet"
Pasti tidak
ramai tahu Irfan Khairi yang mencapai status jutawan internet pada
usia 25 tahun pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci di pasar
raya United Kingdom dengan kadar upah paling rendah.
Dengan gaji
sebanyak £3.50 sejam, iaitu kira-kira RM14 mengikut tukaran
wang sekitar 1997 hingga 1998, Irfan Khairi yang kini berusia 29
tahun melakukan kerja mencuci lantai dan tandas pasar raya dari
jam 6 hingga 8 pagi bagi mencari wang sampingan.
Dia sanggup menempuhi kepayahan itu semata-mata untuk memastikan
dia mampu membeli buku motivasi dan kisah orang yang berjaya serta
menghadiri seminar kejayaan.
Sejam selepas
bekerja, Irfan bergegas mengikuti kuliah dalam bidang multimedia
di Universiti Staffordshire.
Begitulah rutin harian Irfan sepanjang dua tahun pengajiannya di
rantau orang.
"Masa itu,
kalau hendak dikira, gaji yang diterima memang tidak cukup untuk
menjalani kehidupan di bandar besar.Namun disebabkan mahu menghadiri
seminar dan beli buku motivasi, saya sanggup bekerja sebagai tukang
cuci," katanya.
Selepas menerima ijazah, Irfan tidak lai meneruskan kerja sambilan
itu, Kali ini bukan dia mencari kerja, tetapi kerja pula mencarinya.Dia
berkerja sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat, Netmedia
Education, di Birmingham, dengan gaji £1,400.
Irfan ditawarkan
berkerja oleh sebuah syarikat terbabit ketika hari terbuka universiti
yang memberi peluang syarikat mencari pekerja di kalangan bakal
graduan selepas mereka tertarik dengan projek universiti yang dijalankannya.
Waktu itu kehidupannya
senang sedikit berbanding ketika menjadi penuntut, tetapi Irfan
masih menggunakan sebahagian wangnya untuk membeli bahan belajar,buku
dan mengikui kursus berkerja dari rumah.
"Bagi saya,
pelaburan paling bagus ialah pada diri sendiri.Saya mula menjalankan
perniagaan melalui internet sejak tahun pertama menjadi penuntut
dan tukang cuci sambilan.Namun, pada waktu itu ilmu belum cukup,
jadi selama setahun tiada keuntungan yang saya dapat.
"Sebab
itu saya teruskan belajar melalui pembacaan dan kursus bagi memahirkan
diri dalam internet.Masuk tahun kedua, baru perniagaan saya membawa
pulangan," katanya yang menawarkan khidmat grafik seperti mereka
bentuk kulit buku, poster dan kain rentang.
Agak pelik kerana
tahun keempat menjalankan perniagaan melalui internet, Irfan tidak
menyedari dia sebenarnya bergelar jutawan apabila berjaya mengumpul
lebih RM 1 juta.
"Memang
tidak sedar kerana wang hasil perniagaan internet saya hantar ke
Malaysia.Baru saya terfikir, apa saya buat selama ini berjaya dan
saya berazam menyampaikan ilmu yang saya peroleh ini kepada masyarakat
Malaysia," katanya.
Irfan yang berkerja tetap dengan Netmedia Education selama tiga
tahun menyediakan sistem pembelajaran secara 'online' untuk pelajar
sekolah di sana.
"Kalau
orang fikir dalam masa empat tahun saya mendapat RM1 juta itu senang,
sebenarnya sangkaan itu salah.Dari jam 9 pagi hingga 5 petang saya
bekerja makan gaji.Selepas pulang kerja, saya menguruskan perniagaan
internet hingga jam 2 atau 3 pagi.
"Setiap hari dan sehingga sekarang, saya Cuma tidur empat jam.Namun
saya tidak kisah kerana saya rasa ia memadai.Lagipun disebabkan
minat, saya tidak terasa kerja saya membebankan,"katanya.
Untuk berjaya
dalam perniagaan internet, Irfan juga berkorban tidak keluar dengan
kawan atau berhibur.
"Jika bosan,
saya akan menonton wayang dan sesekali melancong.Namun bila melancong,
saya masih membawa komputer riba dan cari hotel yang ada akses internet.Ini
kerana perniagaan ini boleh dilakukan di mana-mana, sekalipun ketika
melancong," katanya.
Selepas menyedari
wang hasil perniagaan internetnya mencecah jutaan ringi, dia melangsaikan
hutang komputer riba yang dibelinya secara ansuran selama tiga tahun,
cuma dalam masa setahun.
Ditanya adakah dia mengubah gaya hidupnya selepas menyedari dirinya
bergelar jutawan, Irfan berkata, dia masih mengekalkan gaya hidup
sederhana.
"Saya tidak
beli barang mewah,tetapi hanya membeli kereta terpakai yang buruk
dan berkarat.Kalau ikut nombor pendaftarannya dan keadaannya pun,
memang tahu ia kereta lama.
"Di sana,
orang yang bergelar jutawan pun masih menaiki bas dan pengangkutan
awam yang lain.Mereka tidak kisah kebendaan.Sebenarnya ramai jutawan
senyap di sana,," katanya.
Irfan berkata,
sepanjang tinggal di Birmingham, dia menyewa flet yang tiada bilik
setaraf rumah kos sederhana.
"Banyak masa dan wang saya gunakan untuk laburkan bagi meningkatkan
kemajuan diri.Saya juga mendalami bidang psikologi untuk meningkatkan
keupayaan diri.
"Menurut
kajian, kira-kira 98 peratus masyarakat tidak sanggup mengeluarkan
duit untuk memajukan diri, manakala cuma dua peratus sanggup berbuat
demikian dan mereka itulah yang akan berjaya.
"Jangan sayangkan duit untuk membeli buku yang boleh meningkatkan
pengetahuan.Ini kerana proses untuk belajar tidak pernah berhenti,
walau di mana pun tahap kita sekarang," katanya.
Irfan berkata,
peluang perniagaan internet sungguh besar sebab banyak ruang kosong
belum dipenuhi, terutama untuk masyarakat Melayu.
"Misalnya,
kalau kita hendak belajar menyanyi secara 'online' atau di internet,
memang banyak, tetapi tiada yang menyediakan lagu Melayu.Sama juga
seperti belajar main gitar dan piano.
"Selain
itu, masih kurang laman web memberitahu perkhidmatan mereka seperti
ejen hartanah, penasihat atau pakar motivasi dan ejen insurans.Saya
harap melalui buku yang saya karang dan seminar yang dianjurkan
dapat menyedarkan masyarakat Malaysia mengenai peluang yang ada,"
katanya.
Penggunaan internet
yang meluas di luar negara turut membolehkan mereka memesan barang
runcit di pasar raya melalui 'online'.
"Pembelian secara 'online' lebih mudah, terutama ketika musim
sejuk.Kita Cuma perlu beritahu mereka senarai barangan yang kita
hendak, misalnya ikan jenis apa dan saiz yang hendak dan barangan
dipesan akan dihantar ke pintu rumah," katanya.
Irfan mendirikan rumah tangga dengan Shazrina Mohd Yusof yang dikenalinya
ketika menghadiri perjumpaan di rumah seorang seniornya.
"Ketika
berpindah di Birmingham, saya tinggal bersendirian.Secara kebetulan,
Shazrina yang juga menuntut di sana dalam bidang pengurusan perniagaan
hotel, selepas itu bekerja di Hotel Hyatt Regency.
"Selepas
berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing, kami mengambil
keputusan mendirikan rumah tangga," katanya yang berkahwin
pada usia 24 tahun.
Kini selepas
pulang ke Malaysia, Irfan menjalankan perniagaan melalui internet
dari rumahnya di Seremban dengan dibantu Shazrina yang menjalankan
kerja pengurusan.
Katanya, komputer
riba adalah teman setianya kerana ketika melancong bersama keluarga
pun, dia akan menjalankan urusan berkaitan kerjanya.
"Kerjaya
ini boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa," katanya.
Biarpun bergelar
jutawan pada usia muda, Irfan tidak pernah mendabik dada.
Malah, ketika
berbicara, dia sentiasa merendah diri dan memberi contoh bahawa
orang yang lemah tetap boleh berjaya asalkan ada minat dan kesungguhan
untuk memajukan diri.
Anak kedua daripada
tiga beradik lelaki ini dilahirkan dalam keluarga yang sederhana.Bapanya
pesara yang dulunya bekerja dalam bidang pendidikan, manakala ibunya
suri rumah.
Disebabkan kerjaya bapanya, mereka adik beradik sentiasa ditekankan
mengenai kepentingan pendidikan dalam kehidupan seharian.
"Kami tidak
pernah kekurangan buku dan bahan belajar.Sikap dan cara ayah yang
rajin membaca dan berkerja menjadi contoh serta ikutan kami,"katanya.
Irfan berkata,
sejka kecil dia berminat dengan seni dan pernah melukis untuk majalah
tempatan, kartun dan ilustrasi cerpen.
Dia mendapat
pendidikan awal di Sekolah La Salle, Ipoh dari darjah satu hingga
tiga.Dia juga pernah bersekolah di Subang Jaya selama beberapa bulan
di darjah empat sebelum mereka sekeluarga berpindah ke United Kingdom
dan menetap tiga tahun berikutan bapanya menyambung pelajaran ke
peringkat ijazah kedoktoran.
"Dua bulan
sebelum menyambung pengajian ke Sekolah Menengah (lelaki) Bukit
Bintang, Petaling Jaya dari tingkatan satu hingga lima.
"Saya memang
tidak pandai kira-kira.Ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM),
saya tidak lulus subjek Prinsip Akaun," katanya tanpa berselindung.
Walaupun mengakui
tidak pandai Matematik, Irfan meneruskan pengajian di Universiti
Teknologi Mara(UiTM) dalam bidang perniagaan.
Namun, sekali
lagi dia berdepan kegagalan.Bukan saja subjek Matematik, dia turut
gagal dalam Statistik dan Ekonomi.
"Sebenarnya minat berniaga memang ada, tetapi bila diaplikasikan
dalam pendidikan, saya tidak pandai.Bila ke United Kingdom, saya
mengalih perhatian kepada bidang multimedia kerana melihat potensinya
serta minat mendalam dalam bidang yang ada kaitan dengan seni.
"Satu perkara
yang perlu ada pada diri kita ialah jangan mudah putus asa.Apabila
gagal.Kita tidak sepatutnya mengulangi kesilapan sama dan terus
dalam kegagalan," katanya.
Dia sering berpegang
kepada pesanan Rasulullah SAW iaitu "Sebodoh-bodoh manusia
ialah yang memasukkan tangan dalam lubang sama dan dipatuk oleh
ular sama."
"Jangan
ambil jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebab tiada jalan pintas
untuk berjaya.Disebabkan ingin cepat kayalah ramai ditipu dengan
skim cepat kaya," katanya.
Selain menghasilkan
buku bertajuk Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, Irfan
menganjurkan bengkel jutawan internet yang bukan saja mendapat sambutan
di kalangan golongan muda, malah yang berusia pertengahan umur dan
pesara.
HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|