Mingguan
Malaysia
"Sesiapa
Sahaja Boleh Jadi Jutawan"
BEKERJA
dari rumah dan memperoleh pendapatan RM1 juta! Bunyinya mungkin
pelik tetapi itu yang telah dibuktikan oleh anak muda bernama Irfan
Khairi, 28.
Lebih membanggakan,
pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia dari Universiti
Staffordshire, United Kingdom (UK) ini mula memegang status jutawan
muda sejak tiga tahun lalu.
Ketika rakan-rakan
sebayanya sibuk membina keyakinan diri menerusi bidang pekerjaan
yang diceburi, Irfan anak kelahiran Perak tetapi dibesarkan di Selangor
dan kini menetap di Seremban, telah mampu memiliki apa sahaja yang
diingini.
Kejayaan yang
dimilikinya itu, walaupun nampak mudah, namun menurut bapa kepada
dua anak ini, memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan terancang.
``Saya bukan
bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa tujuh
tahun untuk sampai ke tahap ini,'' katanya kepada wartawan SITI
MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar RASHID MAHFOF ketika ditemui di Kelana
Jaya baru-baru ini.
Menurut Irfan,
semuanya bermula apabila beliau mula berminat mendalami kejayaan
orang lain dalam bidang-bidang tertentu.
``Saya dapati
mereka berjaya kerana melakukan apa yang disukai. Dan ini yang saya
lakukan untuk diri saya,'' katanya.
Menarik tentang
Irfan ialah beliau juga bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran
Internet untuk sekolah-sekolah di UK, dinamakan Learning Grid.
Pernah mengikuti
kursus Ekonomi di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Irfan mengakui
ketiadaan minat menyebabkan beliau beralih arah ke bidang multimedia.
Berbekalkan
semangat, kreativiti dan komputer ribanya, anak muda pemalu dan
suka merendah diri ini akhirnya menemui impian yang dicari-cari
- duduk sebaris dengan tokoh jutawan Internet yang lain.
Dengan kepakaran
yang ada, Irfan kini mendedahkan segala rahsianya menerusi buku
bertajuk Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar yang ditulis
sendiri, selain sibuk menganjurkan seminar-seminar tentang kejayaannya.
Irfan berasal
daripada keluarga yang menjalankan perniagaan?
Dalam keluarga,
saya orang yang pertama menceburi bidang perniagaan.
Bila mula
terfikir untuk terlibat secara serius dalam bidang perniagaan seperti
ini?
Semasa kecil
saya minat melukis dan mereka bentuk. Minat dalam perniagaan bermula
semasa remaja, setelah saya membaca buku-buku tentang perniagaan.
Ketika berumur 18 tahun saya mula terfikirkan masa depan dalam bidang
perniagaan ini.
Bila mula
serius dengan komputer?
Semasa saya
melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia design di UK.
Siapa yang
banyak mendorong minat ini?
Diri sendiri.
Selain saya mendapat banyak sumber inspirasi melalui buku-buku tentang
kejayaan orang lain yang saya baca.
Orang yang
paling dikagumi?
Bill Gates.
Kenapa?
Antara sebab
ialah dia merupakan manusia yang paling kaya di dunia. Saya kagum
dengan idea, konsep yang diketengahkan. Bill Gates juga seorang
ayah yang baik. Walaupun dia orang yang terkaya di dunia tetapi
masih tetap merendah diri. Kalau boleh saya ingin menjadi seperti
dia.
Apa yang
Irfan belajar tentang Bill Gates?
Dari awal sehingga
menjadi kaya, dia buat perkara yang dia minat - pengaturcaraan (programming).
Dia jadi kaya sebab buat apa yang dia minat. Saya juga selalu sarankan
kepada peserta-peserta bengkel supaya buat apa yang mereka minat,
jangan terikut-ikut dengan industri lain yang kita sendiri tidak
tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri
apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat.
Perkara yang
tidak disukai?
Saya suka kalau
tidak berfikir negatif tentang orang lain. Memang Bill Gates pun
ada perkara-perkara negatif tetapi saya lebih suka mengambil yang
positif sahaja.
Apa makna
kekayaan bagi Irfan?
Wang bagi saya
bukanlah keutamaan. Apa yang paling saya pentingkan ialah keluarga.
Ramai yang tanya kalau perniagaan baik kenapa tidak mahu buka pejabat,
ada pekerja sendiri. Tetapi bagi saya, kalau sudah ada wang cukup,
saya lebih suka duduk rumah bersama keluarga. Memanglah kita perlu
duit, tetapi yang lebih penting ialah membina sebuah keluarga bahagia.
Bagaimana
keadaan bekerja di rumah?
Saya ada satu
bilik khas yang dijadikan pejabat. Apabila saya buat kerja saya
akan tumpu sepenuh perhatian kepada kerja. Saya bekerja waktu malam
sampai subuh. Selepas (solat) subuh, baru saya tidur.
Kenapa tidak
buka pejabat sendiri?
Saya suka menghabiskan
masa bersama keluarga. Kalau boleh saya mahu terus begini. Saya
selesa dengan cara ini.
Irfan tidak
gemar bersosial?
Saya tidak menafikan
kalau dibandingkan dengan rakan-rakan lain, mereka lebih gemar menghabiskan
masa dengan bermain futsal, tengok wayang dan sebagainya. Tetapi
bagi saya, sejak dulu lagi sudah fokus untuk kerja, menjana pendapatan,
minat saya di situ. Saya tidak berapa suka keluar dengan kawan-kawan
begitu (ketawa).
Lagipun pilihan
ini terpulang kepada individu. Saya jadi begini mungkin sebab banyak
membaca. Adik saya tidak macam saya, abang saya pun begitu. Mungkin
juga faktor pergaulan dengan rakan-rakan semasa kecil banyak mempengaruhi
sikap saya sekarang. Dulu, kawan-kawan saya kebanyakannya bukan
daripada keluarga berada. Saya pun daripada keluarga sederhana,
bila tengok rakan-rakan kaya, kami segan nak bercampur, tidak selesa
bila bersama mereka. Sekarang saya telah buktikan walaupun kita
hidup sederhana, peluang untuk kita mencipta kekayaan tetap terbuka.
Ini juga salah satu daripada matlamat hidup saya.
Bila Irfan
menetapkan sasaran untuk bergelar jutawan?
Semasa berumur
18 tahun, saya sudah menetapkan matlamat hendak jadi jutawan sebelum
berumur 30 tahun. Saya tulis di atas kertas dan simpan dalam dompet.
Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari. Saya percaya apa
yang dibaca jika selalu diulang-ulang, akhirnya akan termakbul.
Sampai hari ini pun setiap perancangan saya yang akan datang, saya
akan baca tiap-tiap hari.
Apa perancangan
akan datang Irfan?
Saya hendak
cuba memperkenalkan diri di seluruh negara sebagai motivator pula,
terutama kepada anak-anak muda kita.
Bagaimana
perasaan Irfan bila berjaya mencapai matlamat sebelum masa yang
ditetapkan?
Semestinya saya
seronok. Tetapi apa yang lebih penting ialah saya rasa lebih yakin
dengan kemampuan diri sendiri.
Irfan terlalu
merendah diri, kenapa?
Macam saya kata
tadi, mungkin dari segi pergaulan dengan kawan-kawan saya terbawa-bawa
sikap ini. Kawan-kawan saya memang begitu, tambahan pula dari tingkatan
satu sampai tingkatan lima kami dalam satu kumpulan. Persepsi kami
semasa itu ialah orang kaya ini biasanya sombong dan suka berlagak
tetapi sekarang saya sedar mereka pun sama macam kita sahaja.
Semasa sekolah
pernah kena buli?
Memang pernah,
biasalah kena buli sebab saya ini lemah sedikit (ketawa). Antara
kejadian yang saya masih ingat ialah semasa saya menyertai kelas
tae kwan do. Ada seorang budak yang sedang buat latihan secara tidak
semena-mena terajang saya. Sikap saya pula ialah tidak suka melawan.
Sebenarnya saya memang diajar begitu, sentiasa menghormati orang
lebih dewasa.
Sekarang
Irfan sudah berjaya, adakah masih berasa rendah diri lagi?
Saya suka begini.
Kalau tidak merendah diri saya akan rasa tidak selesa (ketawa).
Mungkin sebagai
motivator, sikap rendah diri begini tidak begitu sesuai?
Saya rasa itu
bergantung kepada cara pembawaan kita. Bagi saya, yang penting ialah
keikhlasan. Saya biasanya akan mengadakan seminar (bengkel) setiap
sekali atau dua kali sebulan cara bagaimana untuk menjadi jutawan,
tetapi cara saya berpakaian misalnya, jelas dapat dilihat yang para
peserta lagi segak bergaya daripada saya.
Bagaimanapun
saya rasa masyarakat sudah mula menerima gaya penyampaian begini
(berpakaian ringkas). Sebelum ini bila kata jutawan, orang itu mesti
pakai kot, tali leher, bawa kereta mewah dan sebagainya. Tetapi
di Amerika Syarikat seperti Bill Gates sendiri, dia beri ceramah
pakai baju T biasa sahaja. Yang penting kejayaan dia. Saya kalau
boleh hendak menjadi seperti resmi padi - semakin berisi semakin
tunduk.
Pertama kali
bertindak sebagai motivator, apa pengalaman yang dialami?
Kelam-kabut
kerana saya lupa banyak fakta dan saya buat banyak kesilapan. Saya
cakap tergagap-gagap. Tetapi ini memang saya jangka dari awal. Di
sekolah saya tidak pernah buat pengucapan awam. Itu kali pertama
seumur hidup saya berucap depan 20 hingga 30 orang.
Sampai sekarang
saya masih gementar. Tetapi biasanya ia berlaku dalam 10 minit pertama
kemudian semua berjalan lancar.
Orang kata
kalau terlalu merendah diri, pihak lain mudah mengambil kesempatan?
Ada betulnya
juga, tetapi itu mungkin berlaku dalam dunia korporat atau perniagaan
yang banyak persaingan. Macam saya kerja di rumah dan mengadakan
bengkel mungkin keadaan itu tidak terasa sangat.
Sebelum terlibat
dalam bidang multimedia, Irfan mengambil jurusan ekonomi di UiTM.
Mengapa beralih bidang?
Semasa itu saya
sendiri tidak tahu hendak pilih jurusan atau bidang apa yang patut
saya ceburi. Jadi ibu banyak mendorong saya supaya mengambil jurusan
itu.
Persepsi orang
tua, untuk berjaya kena jadi ahli ekonomi, doktor atau peguam, itu
sahaja. Walaupun saya telah ada minat melukis, mereka bentuk tetapi
ketika itu saya tidak nampak boleh mengembangkan bakat yang ada.
Sehinggalah selepas UiTM, kerajaan mula memperkenalkan MSC. Saya
lihat inilah peluang saya. Dan pada masa sama, saya memohon di Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang
multimedia. Alhamdulillah saya diterima. Saya merupakan pelajar
pertama yang JPA hantar untuk buat jurusan multimedia di luar negara.
Untuk ini saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun
Mahathir Mohamad yang telah mencetuskan idea ini.
Apa pendapat
Irfan tentang Tun?
Beliau banyak
memberi galakan kepada orang Melayu untuk berjaya. Saya sensitif
bercakap fasal Tun (sebak).
Kenapa Irfan
sebak?
Saya kagum dan
hormat pada beliau. Saya sukar menerima kritikan negatif orang lain
terhadap beliau. Bagi saya, manusia memang tidak terlepas daripada
melakukan kesilapan tetapi Tun telah melakukan banyak perkara baik
untuk orang Melayu.
Kalau diberi
peluang berjumpa Tun?
Sebenarnya saya
memang teringin sangat untuk berjumpa dengan Tun.
Tiga perkara
yang Irfan suka lakukan?
Saya suka bermain
dengan anak-anak, melayan isteri dan keluarga, melukis selain menonton
cakera padat digital (DVD).
Tiga perkara
yang tidak suka dilakukan?
Saya tidak suka
bersukan (ketawa), membuang masa dan kalau saya tidak ada kerja
untuk dilakukan (menambah pendapatan).
Semasa kecil
pernah berlaku perkara yang Irfan tidak boleh lupakan sehingga membentuk
sikap Irfan hari ini?
Tidak ada perkara
luar biasa yang berlaku dalam hidup saya. Sebenarnya hidup saya
agak bosan juga (ketawa). Yang banyak mempengaruhi diri saya ialah
mungkin minat membaca. Boleh dikatakan waktu dulu, buku adalah teman
baik saya.
Semasa remaja,
saya suka tengok dan membaca kisah kehidupan bintang-bintang terkenal
dunia seperti penyanyi Kylie Minogue, Micheal Jackson dan lain-lain
lagi. Bila saya tengok mereka, mereka seronok bekerja (menyanyi
atau berlakon) kerana mereka dapat buat apa yang mereka suka. Bila
kaji kehidupan mereka, rumah mereka besar-besar kerana berjaya dalam
hidup. Dari situ, saya tanam cita-cita untuk jadi seperti mereka.
Disebabkan saya tidak pandai menyanyi, maka saya perlu mencari jalan
lain untuk mencapai kejayaan.
Siapa pelakon
yang diminati?
Tom Cruise,
Tom Hanks dan Nicole Kidman.
Apa kelemahan
Irfan?
Saya mudah lupa
terutama membabitkan nombor. Semasa sekolah dulu, saya tidak minat
dengan subjek Matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan
nombor. Semasa sekolah dulu, saya selalu tidak lulus subjek Matematik
dan Perakaunan.
Apa falsafah
hidup Irfan?
Kejayaan tidak
akan datang bergolek. Kita perlu sentiasa bekerja keras untuk mencapai
matlamat. Masalahnya sekarang, ramai yang suka mengambil jalan singkat.
Tetapi Irfan
sendiri membuktikan kejayaan boleh dicapai dengan jalan singkat?
Tidak, saya
tidak mendapatkan kekayaan ini dengan jalan singkat. Saya mula menetapkan
sasaran saya pada umur 18 tahun. Hari-hari saya mengulangi hasrat
saya, hari-hari juga saya membaca buku ke arah merealisasikan hasrat
saya. Setiap satu atau dua minggu, saya akan menghabiskan sebuah
buku. Kalau bukan bersungguh-sungguh, orang lain tidak akan melakukan
apa yang saya lakukan. Usaha ini berterusan sehingga tujuh tahun.
Tujuh tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Saya berjaya
semasa berumur 25 tahun.
Apa perasaan
menjadi jutawan pada usia muda?
Saya rasa ada
ramai lagi jutawan muda di luar sana. Mungkin kejayaan mereka tidak
dihebahkan. Saya pula lebih suka berkongsi pengetahuan yang ada
dengan orang lain.
Sukarkah
untuk menjadi kaya?
Tidak susah
kalau kita tahu jalannya. Paling penting kita mesti buat apa yang
kita minat. Kalau kita minat, kita kerja dari pagi ke malam, tidak
akan rasa ia sebagai beban.
Apa makna
wang pada Irfan?
Walaupun saya
kata wang perkara kedua dalam hidup, tetapi saya tidak pernah ada
tanggapan negatif pada wang. Sesetengah orang kata, duit banyak
bukan boleh bawa masuk ke kubur. Tetapi kita kena terima hakikat
dengan duit, kita boleh buat keluarga gembira selain kalau kita
mati pun, wang masih berguna kerana kalau kita ada yayasan, ia masih
boleh membantu kerana ia merupakan amal jariah berterusan kita.
Pernah terfikir
untuk menubuhkan yayasan sendiri?
Memang ini sebahagian
daripada perancangan saya. Dan saya rasa ini konsep yang sepatutnya
mereka yang mampu, amalkan.
Bagaimana
Irfan membelanjakan wang?
Saya banyak
belanja kepada perkara yang berkaitan dengan perniagaan saya. Saya
bukan seorang yang boros sebaliknya lebih suka melabur semula wang
ke dalam bidang yang memberi pulangan misalnya hartanah.
Apa aktiviti
tahunan yang sering dilakukan bersama keluarga?
Setiap tahun
saya akan membawa keluarga melancong ke luar negara. Dalam negara
pula dalam dua atau tiga kali setahun.
Percutian
bagaimana yang disukai?
Yang ada permainan
atau tempat hiburan seperti Disneyland dan Under Water World (ketawa).
Selain bawa anak-anak, saya dan isteri memang suka tempat-tempat
begini. Satu lagi yang kami tidak akan ketinggalan ialah melihat
rumah mereka yang berjaya kerana ini akan lebih merangsang diri
saya.
Tempat yang
menjadi impian Irfan dan keluarga untuk dilawati?
Kami ingin melawat
Sepanyol. Di sana ada Under Water World terbesar di dunia.
Bagaimana
Irfan fikir orang lain melihat Irfan?
Penampilan saya
atau cara saya membawa diri saya mahu orang senang dengan saya.
Saya lebih suka kalau masyarakat melihat saya sebagai seorang yang
boleh memberi inspirasi dan meningkatkan keyakinan untuk mencapai
kejayaan daripada melihat saya sebagai seorang jutawan.
Apa yang
Irfan banggakan tentang diri Irfan?
Saya dapat menggembirakan
keluarga dan dapat melakukan kerja yang saya suka.
Apa yang
selalu diimpikan?
Saya mahu semakin
maju dan berjaya dalam hidup. Kalau boleh saya hendak membantu orang
lain mencapai kejayaan.
Bila masa
paling menggembirakan Irfan?
Sewaktu saya
mendapat anak.
Apa yang
Irfan rasa sekarang?
Pernah juga
saya terfikir dulu saya tidak minat subjek Ekonomi, Matematik dan
subjek-subjek nombor yang lain tetapi sekarang saya terlibat secara
langsung (ketawa).
Malah sekarang
bila jumpa kawan-kawan, mereka pelik, macam mana dulu tak suka kira-kira
duit, sekarang boleh membuat duit. Jawapan saya ialah, saya buat
apa yang saya minat dan bekerja keras, duit akan datang dengan sendiri
selepas itu.
Siapa yang
banyak mempengaruhi hidup Irfan?
Untuk berjaya
dalam bidang yang saya ceburi sekarang kebanyakannya diri saya sendiri.
Emak dan ayah memang ada memberi dorongan tetapi daripada jauh.
Selepas tamat pengajian di UK, saya banyak menghabiskan masa dengan
membaca buku-buku tentang kejayaan orang lain.
Irfan anggap
diri terkenal sekarang?
Belum lagi rasa-rasanya
(ketawa). Kalau ikutkan saya, saya lagi ramai kenal wartawan yang
interviu daripada kawan-kawan. Dunia luar memang saya kurang tahu.
Suka dengar
muzik?
Saya minat rock
tetapi rock Barat. Kalau di Malaysia, saya suka KRU. Saya pilih
KRU kerana mereka business minded. Bila tengok muzik, saya tidak
tengok muzik sahaja tetapi tengok siapa orangnya - apa kejayaan-kejayaan
yang telah mereka capai.
Harapan Irfan?
Mahu membina
keluarga yang bahagia dan berjaya. Saya juga harap dapat meneruskan
kerja dengan lebih cemerlang lagi.
Apa yang
Irfan kesalkan?
Ada pihak-pihak
tertentu menyalahgunakan nama saya. Mereka kaitkan saya dengan skim
piramid online. Saya bimbang orang ramai akan fikir cara itu betul
padahal kejayaan saya tiada kaitan langsung dengan skim piramid
yang dimaksudkan. (maklumat lanjut mengenai
skim-skim Internet yang mempergunakan nama Irfan Khairi)
HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet.com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|