Sensasi
"Rahsia
Jutawan "
Kegagalan adalah
guru paling bagus untuk mencipta kejayaan. Ramai yang kagum dengan
kejayaan Irfan Khairi bergelar jutawan dalam usia semuda 25 tahun. Hari
ini, ramai yang menganyam impian untuk menjadi seperti Irfan. Namun,
tidak ramai yang mahu menyelongkar kisah kegagalan Irfan sebelum
menjadi jutawan untuk dijadikan panduan.
Irfan memberitahu, permulaanya bukan mudah. Ketika mula menceburinya,
hamper setahun dia menanggung kerugian lantaran tiada pengalaman
bidang berkenaan.
"Saya tidak terus berjaya dan mencapai pendapatan lumayan. Ketika
mula menceburinya saya hanya mampu mendapat tiga pelanggan dalam
masa setahun. Ertinya saya telah menghabiskan masa begitu saja. Namun
saya tidak pernah berputus asa. Saya terus berusaha dan sentiasa
belajar dari kesilapan lalu,"ujar pemegang Sarjana Muda Reka
Cipta Multimedia Universiti Staffordshire, United Kingdom.
Irfan turut mengakui dia tidak mencipta 'formula' atau strategi
dalam perniagaan internetnya. Sebaliknya dia merujuk daripada kejayaan
orang lain melalui pembacaan buku-buku motivasi, bahan dari internet
dan lain-lain lagi.
"Ramai orang beranggapan kerja saya nampak mudah. Duduk kat
rumah sambil tonton tv dan boleh buat duit. Tapi ramai yang tak tahu,
saya terpaksa berkorban banyak masa untuk diri sendiri. Disiplin
memang penting bagi mereka yang bersungguh-sungguh untuk berjaya
dalam perniagaan internet," jelas Irfan.
Menurut Irfan, sejak di bangku sekolah lagi dia sudah minat dalam
dunia perniagaan. Ketika itu, dia memulakan perniagaannya secara
kecil-kecilan dengan menjual baju t, kad raya dan sebagainya.
Sungguhpun pendidikan Irfan berlatarbelakangkan Multimedia, namun
sehingga kini dia masih mendalami ilmu berkaitan perniagaan internet. Dia
turut mengkaji dan membaca buku-buku motivasi tentang kejayaan orang
lain.
Bagi Irfan, sebelum serius mahu menceburi bidang perniagaan Internet,
seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan tentang perniagaan berkenaan
dan perlu rajin serta tekun mendalami ilmunya.
Kejayaan atau kegagalan seseorang itu bukan terletak kepada kecanggihan
komputer riba atau produk yang ditawarkan. Sebaliknya, ia lebih bergantung
kepada usaha gigih dan tidak mudah cepat mengalah.
"Setiap kita mesti ada matlamat bagi merealisasikan cita-cita. Macam
saya, saya telah sasarkan akan menjadi menjadi jutawan sebelum mencapai
usia 30 tahun. Ketika saya menetapkan matlamat itu, saya baru berusia
18 tahun. Alhamdullilah, matlamat saya menjadi kenyataan ketika usia
25 tahun," ungkapnya kini aktif mengadakan pelbagai seminar
berkaitan perniagaan internet dan motivasi.
Irfan mengatakan banyak kelebihan yang ada dalam perniagaan internet. Di
antaranya, murah, modal yang rendah, pelanggan seluruh dunia, boleh
dimulakan bila-bila masa, tidak perlu premis atau pekerja, kurang
risiko dan boleh dijalankan di mana sahaja. Dengan kos serendah RM500
ke bawah, dia sudah memulakan pernaigaan tanpa perlu takut gagal.
"Cabaran dan dugaan memang ada. Tapi saya sentiasa berfikiran
posited dan sentiasa yakin diri. Saya pernah gagal tetapi saya teruskan
juga sambil mengkaji kesilapan diri,"kata Irfan yang menawarkan
perkhidmatan mereka bentuk buku elektronik (e-book), laman web,
grafik, SEO, menjual peta Malaysia, penempahan hotel, perundingan
multimedia, e-niaga dan pembelajaran.

HakCipta
terpelihara © 2010 RahsiaInternet. com & Irfan Khairi Sdn
Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di
cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran
pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN
INTERNET
|